Halaman

Malaysia's Blogs and Websites Ranking

Isnin, Julai 22, 2013

BERHENTILAH MEROKOK


AWAS perokok! Berhentilah daripada terus membakar duit dan paru-paru kerana mungkin sekarang anda tidak berasa apa-apa tetapi 10 atau 20 tahun akan datang, anda mungkin menambah senarai pesakit sekatan pulmonari kronik (COPD).
Waktu itu, anda mungkin kehilangan upaya dan kualiti hidup terjejas. Ketika badan masih sihat, berjalan 10 meter hanya mengambil beberapa saat, tetapi ketika diserang COPD, jarak 10 meter itu mungkin menjadi jarak terpanjang untuk dihabiskan dalam hidup anda.
Kebanyakan kes COPD terbentuk selepas pendedahan berpanjangan kepada jelaga paru-paru yang merosakkan paru-paru dan saluran udara, terutama paip, cerut, asap tembakau dan lain-lain, bahkan asap pasif turut menyakitkan paru-paru dan menyebabkan COPD.
COPD adalah penyakit kronik yang serius menyebabkan pesakit mengalami sesak nafas, batuk dan mengeluarkan kahak yang banyak secara berterusan dan semakin teruk dari semasa ke semasa.
Beberapa ujian perlu dilakukan bagi mengenal pasti tahap penyakit sama ada sederhana, teruk dan sangat teruk menggunakan mesin spirometri. Untuk ujian ini, pesakit hanya perlu menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus keluar semua udara melalui satu tiub yang dipasang kepada mesin spirometer.
“Sembilan puluh peratus pesakit adalah lelaki manakala selebihnya perempuan. Selain perokok sebagai mangsa utama, individu yang bekerja di tempat terdedah kepada gas atau bahan oksigen lain turut berisiko disebabkan tempat berkenaan mengeluarkan karbon serta habuk yang boleh merosakkan paru-paru.
“Kajian pada 2005 mendapati, 4.5 peratus lelaki dewasa di Malaysia dijangkiti COPD dan jumlah berkenaan tinggi, malah ia lebih serius berbanding penyakit asma,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Di negara maju seperti Amerika Syarikat, dianggarkan lebih 35 juta penduduknya menghidap penyakit paru-paru (asma dan COPD). Dilaporkan jika semua pesakit yang mengalami masalah paru-paru dihimpunkan, ia menjadi pembunuh ketiga utama di negara berkenaan.
Katanya, selain merokok, faktor genetik antara penyumbang utama penyakit ini. Semakin banyak rokok dihisap, semakin tinggi risiko seseorang individu memperoleh COPD.
“COPD boleh dielak jika individu menjalani hidup sihat seperti tidak merokok. Meskipun pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membanteras gejala ini, ia masih kurang mendapat sambutan.
“Langkah pencegahan awal sepatutnya diambil individu sendiri atas rasa tanggungjawab dengan tidak merokok. Mungkin pada usia muda tiada masalah, namun memasuki usia emas ia memberi kesan tidak baik, malah membahayakan nyawa,” kata Dr Zainudin yang juga Perunding Kesihatan Dalaman dan Perubatan Respiratori di Hospital Pakar Damansara.
Anggaran terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2007, seramai 210 juta individu menderita akibat COPD dan tiga juta lagi meninggal dunia kerana COPD pada 2005. Ia membunuh lebih banyak nyawa berbanding HIV/Aids.
Menjelang 2030, WHO menjangkakan COPD akan menjadi penyebab kematian ketiga terbesar di dunia. Kejadian COPD dijangka meningkat seiring dengan unjuran penggunaan tembakau.
Di Malaysia, dianggarkan 50 peratus lelaki merokok, manakala perokok wanita ialah 20 peratus daripada lebih satu bilion penduduk dunia yang merokok.
Walaupun penyakit ini tidak boleh disembuhkan, COPD boleh dirawat secara berkesan.

Rawatan COPD 

l Langkah pertama yang perlu diambil adalah berhenti merokok. Bincang dengan doktor cara terbaik untuk berhenti merokok. Pelbagai cara diperkenalkan bagi mencapai tujuan ini seperti klinik berhenti merokok, rawatan gantian nikotin, ubat-ubatan untuk kurangkan gian merokok dan kaunseling
Pendedahan kepada asap, gas kimia dan habuk perlu dikurangkan selain mengelak menghidu asap rokok perokok lain (perokok pasif)
Mengambil suntikan vaksin selesema dan kurang bergaul dengan orang ramai ketika musim demam
Rawat penyakit ini dengan ubat mengikut nasihat doktor boleh mengawal kesannya. Kebanyakan ubat COPD waktu ini adalah ubat sedutan inhaler yang disedut masuk terus ke dalam saluran udara dan mengurangkan kesempitan dan inflamasi saluran udara. Ubat sedut juga mempunyai kesan sampingan yang kurang berbanding ubat yang dimakan seperti berdebar-debar dan tangan menggeletar. Pesakit digalakkan menulis nama semua ubat biji dan ubat sedutan untuk rujukan doktor ketika kecemasan. Kalau boleh, simpan ubat dalam kotak ubat mingguan supaya tidak lupa makan ubat
Eksaserbasi/keterukan COPD. Ini berlaku kerana pesakit COPD mengalami tanda COPD iaitu mudah penat, kahak yang pekat dan berlebihan warna dari biasa. Keadaan ini selalu terjadi apabila pesakit COPD diserang demam selesema, terdedah pada habuk atau jerebu dan pesakit COPD tidak makan ubat seperti diarah doktor
Senaman dan rehabilitasi pulmonari sangat penting untuk menguatkan otot pernafasan supaya proses pernafasan menjadi mudah dan mengurangkan simptom sesak nafas di samping menambah stamina pesakit
Diet. Kebanyakan penghidapnya menjadi kurus dan mengalami keadaan reput tulang osteoporosis. Pesakit COPD memerlukan tenaga 10 kali ganda berbanding individu normal untuk bernafas. Pemakanan seimbang memberi pesakit tenaga untuk menjalankan tugas harian
Rawatan oksigen. Ia diberi kepada pesakit yang berada di peringkat sangat teruk iaitu pada tahap oksigen dalam darah, kurang 90 peratus. Oksigen boleh diberi dengan beberapa cara seperti tangki oksigen atau oxygen concentrator. Rawatan ini membolehkan pesakit COPD kronik memperoleh kualiti hidup lebih baik
Pembedahan. Ia cara terakhir dalam rawatan penyakit COPD, namun bukan cara terbaik kerana risiko pembedahan tinggi. Antara pembedahan dijalankan untuk pesakit COPD adalah bullectomy dan pemindahan paru-paru
Ubah suai cara hidupJika peringkat COPD sangat teruk, anda mungkin tidak berupaya melakukan kerja harian. Oleh itu, anda mungkin memerlukan bantuan mereka yang terdekat.Beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan dalam mengadaptasikan diri kepada keadaan ini seperti:
Mendapatkan pertolongan ahli keluarga atau kawan untuk tugas penting
Simpan semua benda penting di satu tempat berdekatan supaya tidak perlu berjalan jauh
Pakai pakaian longgar supaya pernafasan tidak susah
Rancang sebelum keluar rumah dan sentiasa memastikan pengambilan ubat sebelum keluar rumah
Bawa nombor telefon rumah, anak atau kawan supaya boleh dihubungi ketika kecemasan
Anda dinasihatkan supaya tidak keluar rumah dalam keadaan kurang sihat
Jika hendak meninggalkan rumah untuk jangkamasa panjang (melawat anak di negeri lain), jangan lupa membawa ubat anda (buku catatan ubat-ubatan atau surat rujukan daripada doktor)
Pengurusan diri sendiri untuk penyakit ini sangat penting kerana kebanyakan pesakit COPD hanya diperiksa doktor tiga atau empat bulan sekali. Semua pesakit mesti mencatatkan rawatan penyakit mereka, ikut arahan doktor dan jangan lupa temu janji doktorAntara tanda umum masalah paru-paru ialah: 

Sukar bernafas
Nafas menjadi pendek (tercungap-cungap apabila bernafas)
Berasa seperti tidak cukup udara
Kemampuan untuk bersenam berkurang
Batuk yang tidak surut walaupun mengambil pelbagai jenis ubat
Batuk berdarah atau berkahak
l Sakit atau tidak selesa apabila menarik dan menghembuskan nafasKaedah menjaga paru-paru:
Berhenti merokok
Elak menjadi perokok sekunder
Elak persekitaran tercemar
Kurangkan penggunaan bahan kimia industri atau domestik
Jika bekerja dalam industri berkaitan kimia, pakai topeng penutup muka
Amalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat
Kawal penyakit (jika anda menghidap penyakit berkaitan paru-paru)


Sumber:Hmetro

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...